Skuad hoki remaja negara diberikan sasaran mara ke suku akhir menjelang Piala Dunia yang bakal bermula 5 Disember ini.

Ini menjadi harapan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal untuk pasukan pelapis yang akan menggantikan tempat senior akan datang.

Skuad bimbingan Amin Rahim itu kini menghuni tangga kelapan dunia, namun Subahan berhasrat untuk menyaksikan persembahan luar biasa daripada mereka.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan A akan bersaing dengan Argentina, Australia dan Chile.

Sementara itu, skuad The Speedy Tigers secara rasmi kembali memulakan latihan selepas berehat pasca saingan Sukan Asia Hangzhou awal Oktober.

Walau tanpa kelibat ketua jurulatih, Arul Selvaraj pada sesi latihan kecergasan pertama, skuad negara mencatatkan kehadiran penuh kecuali pemain yang dalam senarai kecederaan.

Menurut kapten hoki negara, Marhan Jalil, motivasi kesemua pemain masih di paras tertinggi walaupun rekod keputusan menghampakan dalam temasya Sukan Asia.

Kini fokus utama pasukan hanya terletak pada kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024. - Stadium Astro